Monday, June 10, 2013

Pinjaman pasang panel PV solar di bumbung

PUTRAJAYA 10 Jun - Pelancaran skim pinjaman pemasangan panel fotovolta (PV) solar akan menggalak lebih ramai pemilik rumah memasang kemudahan penjana tenaga tersebut di bumbung, seterusnya menjual elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, penawaran pinjaman oleh bank swasta dijangka mendorong kesemua kuota 6.5 megawatt (MW) yang tinggal untuk penjana kategori individu habis dipohon menjelang akhir tahun ini.
''Kuota untuk kategori komersial habis dalam masa 15 minit sebaik sahaja permohonan dibuka, sambutannya terlalu menggalakkan.
''Keadaan berlainan untuk kategori individu di mana sehingga hari ini, terdapat kira-kira 6.5 MW masih boleh dipohon. Dengan andaian setiap rumah menjana empat kilowatt (kW), maka kita masih memerlukan 1,625 rumah dengan PV solar di bumbung," katanya di sini hari ini.
Ongkili berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan skim pinjaman PV Solar pertama di negara ini yang menawarkan pinjaman sehingga 90 peratus oleh Alliance Bank.
Turut hadir Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Tan Sri Dr. Fong Chan Onn; Ketua Pegawai Eksekutif SEDA, Badriyah Ab. Malek dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Sng Seow Wah.
Pemasangan PV solar empat kW pada bumbung rumah bersaiz sederhana memerlukan kos sekitar RM40,000, ia bagaimanapun mampu membawa pulangan RM550 sebulan melalui tenaga yang dijana dan dijual balik kepada TNB.
Ongkili berkata, sehingga April 2013, SEDA telah meluluskan 1,279 permohonan penjanaan tenaga boleh diperbaharui melibatkan 448 MW di mana 171 MW adalah melalui PV solar.
''Daripada 171 MW ini pula, 14 MW adalah daripada kategori individu. Jumlah janaan tenaga dalam kategori individu mungkin nampak kecil, tetapi ia sebenarnya mewakili 1,079 orang yang terlibat.
''Perkembangan itu turut menggambarkan pertambahan mendadak untuk kategori individu kerana kita hanya mencatat lebih kurang 100 orang pada pada 2011," katanya.
Tambahnya, SEDA terus mengadakan kerjasama dan rundingan dengan pihak bank supaya lebih banyak skim pinjaman bagi pemasangan PV solar boleh ditawarkan.
''Kementerian menyedari bahawa soal kewangan menjadi penghalang untuk ramai orang menyertai bidang ini. Majoriti pemilik rumah yang memasang PV solar menggunakan sumber kewangan sendiri.
''Setakat ini, tiga buah bank telah menunjukkan minat untuk menyediakan skim pinjaman berkaitan untuk pemasangan PV solar," katanya.


No comments:

Post a Comment

BOS Featured Post

SOLIS PV STRING INVERTER